Tazkirah

Siri-siri peringatan, ceramah, riadah adalah antara aktiviti yang dijalankan sebagai pengembangan minda anak-anak tahfiz ini.

Kuliah

Anak-anak Tahfiz ini sedang memberikan tumpuan semasa didalam kelas.

Qasidah

Tahfiz ini sering menerima undangan untuk mendendangkan keindahan bait-bait Qasidah didalam majlis yang dianjurkan.

Pelajar Banat

Pelajar Tahfiz Banat sedang mendengar penerangan dan arahan dari guru sebelum melaksanakan aktiviti riadah.

Pelajar Banin

Anak-anak Tahfiz diberikan aktiviti riadah untuk kecerdasan minda mereka.

Sunday, 26 June 2016

AL-QURAN ITU AKAN TERSERLAH PADA DIRI PEMBACANYA.

Mohd Hairozi Muhammad:

Sabda Rasulullah s.a.w:
مثلُ المؤمنِ الذي يقرأ القرآنَ مثلُ الأترُجَّةِ . ريحُها طيِّبٌ وطعمُها طيِّبٌ . ومثلُ المؤمنِ الذي لا يقرأُ القرآنَ مثلُ التَّمرةِ . لا ريحَ لها وطعمُها حلوٌ . ومثلُ المنافقِ الذي يقرأ القرآنَ مثلُ الرَّيحانةِ . ريحُها طيِّبٌ وطعمُها مُرٌّ . ومثلُ المنافقِ الذي لا يقرأ القرآنَ كمثلِ الحنْظلَةِ . ليس لها ريحٌ وطعمُها مُرٌّ .

Terjemahan: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau/oren yang bau harum dan rasanya lazat. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah kurma yang tidak wangi tetapi rasa manis.

Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur'an adalah seperti raihanah yang baunya wangi tetapi rasanya pahit. Perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran pula adalah seperti buah Hanzalah yang tiada bau dan rasanya pula pahit. " [Hadith ini Sahih diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Musa al-Asy'ariy].

Makna perkataan:
Raihanah adalah herba berdaun dari jenis pudina, dalam Inggeris disebut Basil.

Hanzalah adalah buah yang tumbuh liar/kering yang menyerupai tembikai, dalam Inggeris disebut colocynth.

Huraian: Hadith ini menjelaskan orang yang membaca al-Quran itu pasti nampak kesan dari pembacaannya itu pada amalan dan penampilannya. Pembaca al-Quran yang mukmin itu akan zahir kebaikan pada dirinya begitu juga manfaatnya kepada orang lain. Begitulah juga sebaliknya jika ia seorang munafik maka akan terserlah pula kejahatannya itu (moga dijauhkan Allah). Oleh itu, perbanyakkanlah membaca al-Quran sehingga  al-Quran itu benar-benar terserlah pada diri pembacanya.

Nukilan:
DR. SURUL SHAHBUDIN
Pengerusi di www.rehal.org


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Melipat Gandakan Amal Di 10 Akhir Ramadan



قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah Radhiyallahu anhuma, berkata:  “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir ini yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (HR Muslim No: 2009)

Pengajaran:

1.  Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

2.  Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir solat sunat seperti duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

-  Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
-  Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan)

3.  Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan.  Anda bagaimana?

JOM kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini.

a.  Menjaga solat terawih dan pergi awal kemasjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b.  Iktikaf – usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan, ajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid

c.  Perbanyakkan doa "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar", doa untuk diri dan keluarga, juga untuk kesejahteraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga…semoga Allah mengembalikan hak mereka, melegakan musibah mereka

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

27hb Jun 2016
22 Ramadhan 1437H


Saturday, 25 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Lailatul Qadar Perbanyak Doa Mohon Keampunan


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha-, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahwa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni  (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” HR Tirmidzi No: 3435 

Pengajaran:

1.  10 malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyakkan amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2.  Rasulullah menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar.

3.  Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (maha pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah  memaafkan dosa yang kita lakukan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

(Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

26hb Jun 2016
21 Ramadhan 1437H


Friday, 24 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Dari ‘Aisyah Radhiyallahuanha, Bahwa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggal baginda. (HR Bukhari No: 1886)

Pengajaran:

1.  Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan  beribadat kepada Allah

2.  Mengikut Imam Syafie - Itikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat.

3.  Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4.  Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah yang dilupakan kebanyakan umat Islam hari ini.

5.  Amalan itikaf  dapat mengembalikan kita ke masjid (rumah Allah). Rumah yang merupakan tempat menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”  (At-Taubat: 18),.

JOM rebut peluang beriktikaf dan menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan.

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

24hb Jun 2016
19 Ramadhan 1437H


Wednesday, 22 June 2016

1 Hari 1 Hadis: PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Syafaat Al-Quran Untuk Kedua Ibu Bapa


عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَعَلُّمِ الْقُرْآنِ، وَحَثَّنَا عَلَيْهِ وَقَالَ:"إِنَّ الْقُرْآنَ يَأْتِي أَهْلَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحْوَجَ مَا كَانُوا إِلَيْهِ، فَيَقُولُ لِلْمُسْلِمِ: أَتَعْرِفُنِي؟ فَيَقُولُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ؟ مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا الَّذِي كُنْتَ تُحِبُّ، وَتَكْرَهُ أَنْ يُفَارِقَكَ الَّذِي كَانَ يَسْحَبُكَ وَيُدْنِيكَ، فَيَقُولُ: لَعَلَكَ الْقُرْآنُ، فَيُقْدَمُ بِهِ إِلَى رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَيُعْطَى الْمُلْكَ بِيَمِينِهِ وَالْخُلْدَ بِشِمَالِهِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ السَّكِينَةُ، وَيُنْشَرُ عَلَى أَبَوَيْهِ خَلَّتَانِ لا يَقُومُ لَهُمْا الدُّنْيَا أَضْعَافًا، فَيَقُولانِ: لأَيِّ شَيْءٍ كُسِينَا هَذِهِ، وَلَمْ يَبْلُغْهُ أَعْمَالُنَا؟ فَيَقُولُ: هَذَا بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ".

Dari Abi Umamah katanya, Rasulullah SAW telah memeritahkan kami agar mempelajari al-Quran.  “Belajarlah kamu al-Quran, ia kelak di hari kiamat akan datang pada ahlinya ketika sangat berhajat kepadanya. Maka ia datang dalam bentuk yang seindah-indahnya, lalu bertanya: kenalkah engkau kepadaku? Maka dijawab: Siapakah engkau?.Akulah yang kamu cinta dan kamu sanjung, bahkan kamu telah bangun malam untukku, dan biasa membacaku di siang hari. Lalu ia berkata: Mungkin engkau al-Quran?. Kemudian menuntun orang tersebut mengadap kepada Allah, lalu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kiri, dan dipasang mahkota di atas kepalanya dan kedua ayah bondanya yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda. Maka keduanya bertanya: Dari manakah kamu mendapatkan ini? Padahal amal kami tidak sampai ke sini. Lalu dijawab: Ini kamu dapat kerana anakmu telah mempelajari al-Quran maka kamu berdua diberi ini”  (HR Tabrani No: 4408)

Pengajaran:

1.  Mempelajari al-Quran adalah suatu tuntutan kepada setiap Muslim.

2.  Al-Quran pada hari kiamat akan datang dalam bentuk yang indah kepada orang yang "ahli" al-Quran (semasa hidup sentiasa mendampingi – membaca, memahami dan menjadikan petunjuk). Membacanya siang dan malam.

3.  Pembaca al-Quran akan memperolehi syafaat daripada al-Quran

4.  Ibubapa pembaca al-Quran juga akan mendapat syafaat antaranya diberi perhiasan mahkota di atas kepalanya yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda.

Ayuh kita mempelajari, membaca, memahami dan menghayati serta beramal dengan al-Quran agar menjadi syafaat buat kita dan kedua ibubapa.

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

23hb Jun 2016
18 Ramadhan 1437H


Sunday, 19 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Dua Kegembiraan Orang Berpuasa



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda…Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. H.R. Muslim No : 1945

Pengajaran:

1.  Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan hilang rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

2.  Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap tujuannya. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki disana dengan ganjaran keampunan.

3.  Bukan sekadar rasa nikmat selepas bertahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT  menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keihlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.
 
4.  Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala yang lain agar akur kepada perintah Allah.

5.  Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi whatsapp, telegram, FB serta  bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

20hb Jun 2016
15 Ramadhan 1437H


Saturday, 18 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS: Jaminan Masuk Syurga


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." H.Riwayat Muslim No: 1707

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang solleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah yang menunjukkan amal solleh.


3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup dalam masyarakat. Mukmin yang melaksanakannya semua itu pasti akan masuk syurga.

Ayuh kita bersegera menyantuni orang miskin, orang lemah, anak yatim sempena bulan Ramadan ini dengan sumbangan Ramadan. JOM bersegera menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

19hb Jun 2016
14 Ramadhan 1437H


Tuesday, 14 June 2016

1 Hari 1 Hadis: PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Pemurah Melakukan Amal Kebaikan



عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhu dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Qur'an kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (HR Muslim No: 4268)

Pengajaran:

1.  Rasulullah adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.


2.  Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.


3.  Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.


4.  Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut & mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.


5.  Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)

6.  Tadarus al-Quraan juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

15hb Jun 2016


Sunday, 5 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS _ Puada Ramadhan Menghapus Dosa Setahun Yang Lalu

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". RH Bukhari No: 37.


Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2.  Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil).

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانِ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اِجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar".( H.R. Muslim )


Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan  menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa kita setahun yang lalu

#Ramadhan Al-Mubarak Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

6hb Jun 2016


Friday, 3 June 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Ramadan Bulan Barakah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ يُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW memberikan kabar gembira kepada sahabatnya: "Telah datang kepada kalian bulan ramadhan, bulan yang penuh barakah, bulan yang mana Allah mewajibkan kepada kalian berpuasa. Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka Jahannam ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, dan pada bulan itu ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, maka barangsiapa terhalang darinya sungguh ia telah terhalang dari kebaikan." (HR Ahmad No: 8631)

Pengajaran:

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan. Antara kelebihannya:

1. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa.

2. Ramadan adalah bulan ibadah. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

3. Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai.


4. Bulan Ramadan menyediakan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu lailatul Qadar yg perlu diraih

5. Sesiapa yang terhalang dari merebut peluang untuk melaksanakan pelbagai ibadah di dalamnya, sesungguhnya ia telah terhalang dari mendapat kebaikan.


Ayuh kita menyediakan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan pada tahun ini.


#Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

4hb Jun 2016